Khamis, 27 Mac 2014

KHASIAT KUNYIT






Beberapa kajian yang telah dibuat menunjukkan kunyit boleh membantu proses penghadaman dan mengurangkan 'gas' atau angi dalam perut. Kunyit yang disapukan dengan minyak jika disapu akan membantu menghaluskan kulit. Kunyit juga boleh digunakan sebagai tonik bila dicampurkan dengan manisan dan minyak bijan. Juga boleh membantu masaalah datang haid bulanan dan juga membantu meningkatkan pengeluaran sel darah merah dan elok digunakan dalam keadaan anemia atau kekurangan darah merah. Kunyit yang dicampurkan air boleh digunakan untuk merawat gatal gatal, kudis, sakit sakit lutut, sendi dan ruam.


Kunyit amat sesuai ditanam disekeliling rumah dan jika rajin boleh digunakan sebagai sumber pendapatan sampingan. Di Malaysia, kunyit yang digunakan banyak diimport dari negara luar. Pengeluar terbesar kunyit di dunia adalah China, India dan Indonesia. Sebagai peringatan jangan guna kunyit serbuk, kerana ini mungkin telah dicampur dengan pewarna kuning yang diberi nama TETRAZINE yang boleh menyebabkan alahan. Gunakan kunyit hidup. Gunakan 1 inci atau 3cm kunyit dalam segelas air masak. Boleh diamalkan untuk menjaga kesihatan kita.


Salah satu kuasa penawar alami kunyit ialah kandungan tinggi antioksiden, antaranya ialah vitamin C dan E, dan juga karotenoid (carotenoids). Ia juga mengandungi antioksidan yang berkesan seperti curcumin dan kompaun curcuminoids. Oleh sebab curcumin ialah antioksiden yang mujarab, ia membantu menghalang kolesterol menyempitkan arteri, dinamakan atherosclerosis, antara penyebab utama serangan jantung.


Kunyit mengurangkan paras kolesterol darah dengan menstimulasikan pengeluaran ‘bile’. Ia juga menghalang pembentukan ketulan darah yang boleh menyebabkan serangan jantung. Kunyit juga membantu jantung dengan cara menghalang platelete , iaitu sel-struktur kecil dalam darah, daripada melekat antara satu sama lain menyebabkan darah berketul (blood clots).




Cara pengambilan:

1. suplemen curcumin boleh dibeli di farmasi


2. gunakan kunyit dalam masakan harian


3. ambil kunyit sebesar ibu jari. Kupaskan kulitnya dan dicuci hingga bersih. kemudian diparutkan dan diperah hingga mengeluarkan airnya. Campurkan air perahan kunyit itu dengan 1 sudu madu dan suku sudu teh lada hitam. Minumlah ramuan ini dua kali sehari iaitu pagi dan petang. InsyaAllah ia dapat mengurangkan tekanan darah tinggi



Pokok kunyit boleh dikatakan pokok serba guna, setiap bahagiannya  mempunyai peranan tersendiri. Daunnya membangkitkan aroma masakan begitu juga bunganya. Apalagi buahnya yang mempunyai seribu satu khasiat selain untuk penyedap masakan. Bagi masyarakat India, kunyit dijadikan bahan  utama untuk rempah kari dan piccalilli (acar pedas). Di samping menjadi pewarna dan perasa di dalam masakan ia juga menjadi sebahagian perubatan tradisional.

     
   Setiap masyarakat mempunyai kepercayaannya tersendiri mengenai khasiat kunyit dalam kehidupan seharian. Peranan kunyit dalam perubatan telah dikenal pasti sejak 3000 tahun lalu.

         
Bagi masyarakat Melayu kunyit juga dimunum sebagai jamu terutamanya ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah. Manakala masyarakat Cina percaya isi kunyit boleh melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Di dalam perubatan Thai kunyit digunakan  untuk merawat bisa patukan ular tedung.

       
 Dalam ilmu perubatan Hindu kunyit disyorkan sebagai pes untuk mengubati penyakit kulit, gatal-gatal dan depilatori. Di samping itu ia juga digunakan sebagai barangan kosmetik untuk mewarnakan kulit.

        

Terdapat penyelidikan yang membuktikan kunyit menguatkan pundi hempedu, menyekat pembekuan darah yang bahaya, mengurangkan toksin hati, membantu memetabolismakan lemak dan mempunyai kesan anti merangsang tindakan dan non steroidal.

Ahad, 23 Mac 2014

PANTANG LARANG ORANG-ORANG TUA SUATU MASA DULU.







Kehidupan dulu-dulu bersendi adat, adat bersendi agama. Kalau sekarang ni, budak-budak buat tak endah soal adat, adab dan pantang larang. Berikut adalah pantang larang orang tua kita dulu yang sekarang ni kita pun tak berapa nak ikut / tak berapa nak ingat: 


Pantang Larang Di dalam Hutan
 

1. Jika sesat di hutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti dimakan hantu.
 
2. Dilarang pegang pokok merah, nanti badan menjadi gatal.
 
3. Jangan tidur di atas pokok jika sesat, nanti dilapah hantu.
 
4. Dilarang bercakap besar ketika di hutan, nanti mendapat bencana.
 
5. Pantang bersiul di hutan, nanti disambar langsuir.
 
6. Jangan melaung di tengah hutan, nanti disahut hantu.
 
7. Jika terdengar sahutan, jangan dijawab, dikhuatiri suara hantu.
 
8. Jangan mengambil batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu.
 
9. Dilarang menegur sesuatu yang aneh atau ganjil dihutan, nanti dirasuk atau dapat malang.
 


Pantang Larang Kanak-Kanak
 

1. Dilarang duduk atas bantal, nanti punggung terkena bisul.
 
2. Tak boleh memotong kuku waktu malam, nanti pendek umur.
 
3. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.
 
4. Tak boleh jelir lidah, nanti lidah terpotong.
 
5. Makan kepala ikan, nanti menjadi bod0h.
 
6. Dilarang mengangkat kaki ketika meniarap, nanti emak mati.
 
7. Tak boleh menunjuk pelangi, nanti jari kudung.
 
8. Tak boleh makan dalam gelap, dikatakan makan dengan iblis.
 
9. Dilarang bermain atau keluar rumah waktu senja, nanti disorok hantu.
 
10. Tak boleh gigit kain, nanti gigi berulat.
 
11. Hempedal ayam tak boleh dimakan, nanti susah bersunat.
 
12. Dilarang bercakap dalam tandas, nanti mata ketumbit.
 


Pantang Larang Di Sungai
 

1. Jika nampak air berpusar, jangan hampiri, alamat buaya bergerak atau mengiring.
 
2. Jika ikan toman membawa anak, jangan melintas di hadapannya, nanti dilompati ke perut.
3. Jika terdengar suara semacam kerbau di tebing sungai, alamat ada buaya mengawan.
 
4. Dilarang bawa limau purut, nanti dibaham buaya.
 
5. Jika suara perempuan terdengar waktu Maghrib, alamat hantu pari sedang berpesta.
 
6. Jika kail disambar gondang (siput besar) , alamat rezeki mendatang.
 


Pantang Larang Ketika Duduk
 

1. Tak boleh duduk atas bantal, nanti dapat bisul.
 
2. Tak boleh duduk atas tangga ketika Maghrib, nanti dirasuk hantu.
 
3. Tak boleh menggoyang kaki, nanti tak lepas hutang.
 
4. Tak boleh duduk di beranda tangga, nanti payah rezeki.
 
5. Tak boleh duduk atas lesung, nanti berkudis dubur.
 


Pantang Larang Ketika Makan
 

1. Makan pedal ayam, akan mengantuk ketika bersanding.
 
2. Makan tidak basuh pinggan, nanti lambat dapat menantu.
 
3. Makan pisang kembar, akan beranak kembar.
 
4. Makan waktu Maghrib, makan bersama hantu.
 
5. Makan sisa anak, anak akan degil.
 
6.. Tidur selepas makan, nanti perut buncit.
 
7. Makan sambil berjalan, dapat penyakit perut.
 
8. Bila makan, pinggan tak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang.
 
9. Jangan makan nasi di senduk, nanti payah rezeki.
 
10. Makan bertindih pinggan, akan beristeri dua.
 
11. Makan telur tembelang, mendapat penyakit barah.
 
12. Makan dalam pinggan sumbing, dapat anak bibir sumbing.
 
13. Makan dalam belanga, dapat anak rupa hodoh.
 
14.Makan berlunjur,akan jadi pemalas.
 
15.Makan mencangkung, payah dapat rezeki.
 


Pantang Larang Ke Atas Lelaki
 

1. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.
 
2. Dilarang kencing atas busut, dikatakan buruk kemaluan.
 
3. Dilarang mengintai orang mandi, nanti mata ketumbit.
 
4. Dilarang tidur di tengah padang, nanti emak mati.
 
5. Dilarang ketawa waktu Maghrib, nanti datang hantu.
 
6. Kalau tidak tahan berpanas, nanti tunang dilarikan orang.
 


Pantang Larang Ke Atas Perempuan 

1. Dilarang menyanyi di dapur, nanti kahwin orang tua.
 
2. Dilarang menjahit di badan, nanti tidak lepas hutang.
 
3. Dilarang memakan leher ayam, nanti leher terkulai di pelamin.
 
4. Pantang bangun lewat, nanti sukar mendapat jodoh.
 
5. Dilarang makan nasi kerak, nanti mendapat anak bod0h.
 
6. Dilarang mencari kutu ditangga, nanti kahwin orang tua.
 
7. Dilarang mencucuk jarum pada waktu malam, nanti didatangi sial.
 
8. Dilarang bercermin di depan cermin retak, nanti wajah pucat di malam pertama.
 
9. Dilarang pakai baju basah, nanti badan naik kurap.
 
10. Pantang berbual di tangga, nanti dipinang orang di serambi rumah sahaja.
 
11. Dilarang makan bertindih pinggan, nanti menjadi madu orang.
 
12. Tak boleh menyapu nasi pada waktu malam, nanti pendek rezeki.
 
13. Dilarang mengerat kuku waktu malam, nanti datang sial.
 
14. Dilarang makan berubah tempat, nanti berkahwin ramai.
 
15. Dilarang meletak pinggan di tapak tangan ketika makan, dikhuatiri nanti akan merampas suami orang.